Fitnah PM, agenda huru-harakan negara-[Ya ke siasat belum lagi dah kata fitnah :) ]
![]() |
| Idris Haron |
MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menyifatkan fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diatur secara terperinci oleh golongan tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi untuk menghuru-harakan negara.
Beliau berkata, tindakan golongan berkenaan juga jelas menunjukkan sikap busuk hati mereka terhadap imej dan kepimpinan Najib serta kemakmuran negara.
"Setiap perdana menteri sebelum ini pernah dilanda pelbagai fitnah tetapi beliau (Najib) dilanda fitnah bertubi-tubi dan perbuatan segelintir pihak ini cukup jijik kerana sentiasa iri hati dengan kestabilan politik, sosial dan
kemakmuran ekonomi negara.
"Pihak ini adalah golongan tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai sifat seorang manusia sejati kerana melontar tuduhan tanpa berasas yang lebih dilihat sebagai busuk hati," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap Najib termasuk laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa kira-kira US$700 juta (Rm2.6 bilion) dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri.
"Saya percaya Perdana Menteri seorang tabah dan bijak berdepan situasi berkenaan berdasarkan pengalaman politik yang dilaluinya selama ini dan saya juga berharap biarlah fitnah ini berhenti," katanya. - Bernama
-Sinar Harian-
Tangan hancur akibat mercun buatan sendiri-Ambil pengajaranlah semua!
![]() |
| Pergelangan tangan yang hancur akibat mercun buatan sendiri. |
PASIR MAS - Seorang bekas tentera cedera parah selepas pergelangan tangannya hancur dan melecur di muka serta beberapa anggota badan dipercayai berpunca daripada cubaan menghasilkan mercun buatan sendiri di Kampung Galok, Chetok di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa berusia 27, difahamkan dalam 'eksperimen' di dalam biliknya dengan cuba memampatkan bahan-bahan termasuk belerang sebelum berlaku letupan. Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia sedang tidur manakala ahli keluarganya yang lain sedang mengemas kerana baru selesai bersahur. "Mangsa merupakan anak kedua daripada empat beradik yang pendiam dan tidak banyak bergaul dengan ahli keluarga yang lain. "Kejadian tersebut disedari bapa, sebelum menghubungi ambulans dengan bantuan jemaah masjid yang kebetulan hendak menunaikan solat Subuh di sebuah masjid berhampiran rumah," katanya. Katanya, mangsa yang hampir lima tahun berhenti daripada tentera di salah sebuah kem di ibu kota kini hanya menjalankan kerja-kerja kampung iaitu menternak lembu. Ditanya jenis mercun yang cuba dihasilkan mangsa itu, namun dia memberitahu bahawa tidak mengetahui jenis dan tujuan sebenar mangsa berbuat demikian.
-Sinar Harian-
Menteri Kewangan Greece letak jawatan
![]() |
| Varoufakis selama ini lantang bersuara telah menggegarkan kumpulan Eropah sejak pelantikannya Januari lalu. |
ATHENS: Menteri Kewangan Greece Yanis Varoufakis pada Isnin berkata beliau meletakkan jawatan dan pengumuman tersebut suatu yang mengejutkan walau pemerintah negara itu telah mendapat keputusan undian yang menolak syarat pelan penyelamat yang ditawar zon Euro. “Sejurus selepas pengumuman keputusan referandum, saya menyedari sesetengah peserta kumpulan Eropah dan pelbagai rakan kerja lain yang mahukan saya ‘tidak hadir’ dalam mesyuarat,” ujar Varoufakis. Varoufakis dikatakan banyak kali bertembung pendapat dengan pemiutang dalam banyak rundingan sepanjang bulan-bulan kebelakangan ini. Menurutnya, ia adalah idea Perdana Menteri yang merasakan ia boleh membantunya mencapai persetujuan. “Atas sebab ini saya meninggalkan Kementerian Kewangan hari ini,” katanya. Dia juga mengingatkan bahawa keputusan referandum yang menyaksikan 60 peratus rakyat Greece menolak pelan penyelamat yang didesak pemiutang antarabangsa, hadir bersama harga yang besar untuk dibayar, sama seperti perjuangan untuk hak-hak demokratik. “Modal besar yang diberikan kepada kerajaan kita harus dilabur segera bagi mendapatkan penyelesaian sewajarnya,” katanya yang menyeru persetujuan yang melibatkan penstrukturan semula hutang, pengurangan langkah penjimatan, pengagihan semula untuk membantu golongan memerlukan, serta reformasi sebenar. Varoufakis selama ini lantang bersuara telah ‘menggegarkan’ kumpulan Eropah sejak pelantikannya Januari lalu. “Saya akan ‘memperagakan’ kebencian pemiutang-pemiutang itu dengan rasa bangga,” ujarnya yang tidak sesekali mahu tunduk pada kehendak konvensyen berkenaan.
-AstroAwani-
Stacy pertama kali puasa, Akim beri semangat
| Stacy berkata dia juga turut berkunjung ke rumah keluarga Akim untuk berbuka puasa bersama ibu bapanya. |
Kekasih kepada penyanyi Akim Ahmad, Stacy mengakui bahawa dia kini sedang belajar untuk berpuasa. Bagaimanapun menurut pemenang Akademi Fantasia musim keenam itu, atas faktor kesihatan dia baru sahaja dapat berpuasa selama dua hari. “Setakat ini saya baru dapat berpuasa selama dua hari saja kerana saya kurang sihat dan mengalami batuk serta selsema. “Tahun ini merupakan kali pertama saya belajar berpuasa dan rasanya sangat lain lebih-lebih lagi apabila tiba waktu berbuka,” katanya seperti yang dilapor BH Online. Tambah Stacy lagi dia juga turut berkunjung ke rumah keluarga Akim untuk berbuka puasa bersama ibu bapanya. "Saya turut berkunjung ke rumah Akim untuk berbuka puasa bersama ibu bapanya. Jika ada jodoh antara saya dan Akim, adalah. “Lagipun puasa juga dapat membantu dari segi kesihatan juga," ujar penyanyi berusia 25 tahun itu. Selain itu, pelantun lagu itu juga mengakui Akim banyak memberi dorongan dan sokongan kepadanya ketika berpuasa.
-ASTROAWANI-
Utamakan negara dan rakyat di waktu sukar ini-Kata Nazir Razak
![]() |
| NAZIR: Bukan atas kepentingan peribadi, bukan ketaatan peribadi dan bukan juga parti politik |
KUALA LUMPUR: Di waktu suasana politik negara dilanda kegelapan, kita seharusnya meletakkan keutamaan kepada negara dan rakyat terlebih dahulu, kata adik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak. Kenyataan itu disiarkan menerusi posting terbaru beliau di laman sosial Instagram peribadinya pada Ahad malam. Turut diletakkan bersama, gambar Tugu Negara sebagai simbolik kepada perjuangan wira-wira negara.
“Mereka mengorbankan jiwa untuk membina negara. Dalam waktu dunia politik negara dilanda kegelapan kita seharusnya mendahulukan negara dan rakyat. “Bukan atas kepentingan peribadi, bukan ketaatan peribadi dan bukan juga parti politik,” kata Nazir dalam catatannya itu. Minggu lalu, Nazir turut memuat naik posting dengan imej ‘The Truth Next Exit’ dengan kapsyen “saya berharap institusi kita bertindak dengan pantas. Rakyat Malaysia merasa mereka diketepikan kebenaran, menyedihkan dan berpecah belah. Hanya selepas ditemui kebenaran kita akan dapat kembali bersatu.”
Nazir yang juga, Pengerusi CIMB Holdings Bhd, juga pernah membuat kenyataan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi laman sosial Instagramnya sebelum ini. Dengan memuat naik gambar audit 1MDB, Nazir mempersoalkan pentadbiran syarikat milik kerajaan GLC atas tindakan syarikat pelaburan negara itu yang masih belum memulakan audit bagi bulan Mac 2015. Nazir juga akhir-akhir ini turut dikaitkan dengan penubuhan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang antara lain dikatakan akan memperjuangkan isu-isu berkaitan politik dan sosial negara. NGO itu juga bertujuan untuk mendekati semua kaum dan menamatkan politik perkauman yang memecahbelahkan rakyat Malaysia.
-AstroAwani-
Ringgit jatuh ke paras terendah sejak ia tidak lagi ditambat
![]() |
| Matawang ringgit jatuh ke paras terendah hari ini sejak ia tidak lagi ditambat dengan dolar Amerika pada 2005. |
KUALA LUMPUR: Matawang ringgit jatuh ke paras terendah hari ini sejak ia tidak lagi ditambat dengan dolar Amerika pada 2005. Kejatuhan didorong risiko Greece disingkir dari Zon Euro dan laporan siasatan ke atas dakwaan penyelewengan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurut laporan Bloomberg, setakat 9.30 pagi tadi, matawang ringgit jatuh 0.6 peratus kepada 3.8025. Ringgit ditambat 3.8 dolar Amerika ketika krisis kewangan Asia pada 1998. Kontroversi 1MDB turut mengheret turun ringgit sebagai prestasi matawang paling buruk di Asia. Situasi politik luaran turut menjejaskan matawang ringgit. Penganalisis menjangkakan ringgit akan terus lemah pada paras 3.80 sekiranya situasi Greece terus tidak menentu.
-Astro Awani-







